Thursday, June 05, 2008

Seni Pesembahan Koir

Bila sebut pasal koir, teringat pula saya Hari Guru Peringkat Negeri Sabah pada tahun 2006. Masa tu saya adalah salah seorang dari ahli kumpulan koir guru-guru Sandakan yang membuat persembahan. Sebanyak tiga buah lagu yang kami persembahkan iaitu Guru Malaysia, Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan dan Perwira. Ketika ini lah saya dapat pendedahan tentang nyanyian koir dengan baik. Menyertai persembahan koir bukan satu perkara baru bagi saya. Sejak sekolah rendah lagi saya sudah mula menjinakkan diri dalam aktiviti persembahan nyanyian berkumpulan. Namun, peraturan dan disiplin koir yang lebih dalam dapat saya pelajari ketika bersama-sama kumpulan koir guru-guru Sandakan pada tahun 2006.

Muzik bukanlah bidang saya. Namun saya mempunyai minat dalam bidang nyanyian. Dan boleh juga menyanyi walaupun tak lah sehebat Siti Nurhaliza atau Misha Omar. Minat dan sedikit bakat anugerah Tuhan ini saya aplikasikan di sekolah bersama-sama anak murid saya. Tak kiralah dalam pembelajaran mahupun aktiviti sekolah.

Dari segi istilahnya, koir adalah sebuah kumpulan muzikal vokal yang menyanyi beramai-ramai yang membentuk satu nyanyian yang harmoni. Walaupun bukan penyanyi solo yang baik, namun dalam kumpulan koir, ahli-ahli ini mampu untuk menghasilkan gabungan suara yang berharmoni, mantap dan merdu.

Biasanya dalam koir ini terdapat empat kumpulan suara. Tapi boleh jadi lebih dari itu. Tingkat-tingkat suara yang lazim adalah seperti soprano dan alto (wanita), manakala tenor dan bes pula adalah untuk lelaki. Bagi kumpulan koir kanak-kanak biasanya hanya ada dua gabungan suara iaitu alto dan soprano kerana suara kanak-kanak lelaki lebih kurang suara kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan pengalaman saya, suara ahli kumpulan akan duji terlebih dahulu bagi menentukan dimana kedudukan suara mereka samaada soprano, alto, tenor mahupun bes. Kemudian, barulah skor lagu diedarkan berdasarkan kepada kumpulan suara masing-masing.

Saya memang cukup ‘salute’ dengan sesiapa yang boleh mencapai suara soprano ni. Suara saya setakat alto je. Suara soprano kebiasaannya mempunyai lingkungan suara dari "C tengah" (C4) hingga ke "A atas" (A5) untuk muzik koir. Manakala alto pula kebiasaanya meliputi di antara G di bawah C tengah hingga ke E sepuluh di bawah C tengah (G3-E5). Ini merupakan lingkungan suara terendah bagi wanita. Tetapi, dalam koir setiap tingkat suara ni mempunyai peranan masing-masing dalam meharmonikan sesuatu persembahan nyanyian.

Sememangnya bukan mudah untuk melontarkan suara tambah-tambah lagi mengikut nota yang diberi. Adakalanya, suara penyanyi soprano tersasar kepada alto, dan kadang-kadang gabungan suara menjadi sumbang. Begitulah yang pernah saya alami ketika menjalani latihan. Bagi menyempurnakan sesuatu persembahan dengan baik, latihan berterusan amatlah penting di samping kerjasama seluruh ahli kumpulan. Selain itu, paduan irama lagu dan suara memainkan peranan yang penting untuk menyentuh hati para pendengar. Terpulang lah kepada mood lagu yang dibawakan.

Seronok rasanya mempunyai pengalaman sebagai salah seorang penyanyi dalam kumpulan koir guru-guru Sandakan. Ia sememangnya diluar bidang keutamaan saya. Namun, sebagai seorang guru, saya mestilah mempunyai kemahiran tambahan untuk disampaikan pula kepada anak-anak murid saya. Merupakan satu kebanggaan juga kepada saya sekiranya anak-anak murid saya turut mempunyai pelbagai kebolehan tidak kira dalam arena apa sekalipun seperti sukan, seni, reka cipta, teater dan sebagainya.

No comments: